Punca Tekanan Emosi Pelajar

Terdapat beberapa puca ataupun faktor yang boleh menyebabkan tekanan emosi ini berlaku dalam kalangan pelajar. Antaranya termasuklah faktor ibu bapa, faktor persekitaran, keinginan melebihi kemampuan, intrapersonal dan punca sosial,

Faktor ibu bapa
Ibu bapa merupakan salah satu punca tekanan emosi berlaku dalam kalangan pelajar. Kebanyakan ibu bapa mahukan anak-anak mereka mencapai kejayaan dalam pendidikan sebagai jaminan mendapat kerjaya yang baik pada masa hadapan. Ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka berjaya dalam bidang pendidikan perlu mengikut landasan yang betul dalam setiap langkah dan tindakan dan bukannya mengenakan sesuatu peraturan tanpa rasional. Penggunaan peraturan tanpa rasional dan meletakkan harapan yang tidak realistik terhadap pencapaian anak-anak akan memberi tekanan kepada anak-anak. Sekiranya harapan yang diletakkan ibu bapa tidak dapat dicapai oleh anak - anak, ini akan menyebabkan anak-anak mengalami tekanan yang teruk sehingga boleh menyebabkan trauma.
 Selain itu, penceraian dalam kalangan ibu bapa juga menyebabkan anak- anak mereka akan mengalami tekanan. Penceraian ibu bapa menyebabkan, kehidupan anak-anak terabai. Kadang-kadang berlaku juga di mana anak-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada ibu bapa mereka. Hal ini akan menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan kurang mendapat kasih sayang sehingga menyebabkan anak-anak mengalami tekanan perasaan. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa menjadi salah satu punca kepada tekanan yang dialami oleh pelajar.

Punca Persekitaran
Pelajar akan mengalami pelbagai perubahan persekitaran dalam hidupan seharian mereka bergelar pelajar. Contohnya mereka akan mengalami perubahan gaya hidup dari peringkat menengah kepada peringkat institusi pengajian tinggi. Mereka akan mengalami tekanan jika tidak dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan besar bergelar mahasiswa universiti seperti untuk mendapat keputusan yang cemerlang mereka perlu berusaha sendiri tanpa bantuan. Selain itu, sistem penentuan gred bagi setiap subjek tidak hanya bergantung kepada markah dalam perperiksaan akhir semata-mata, inilah yang menjadi pembaharuan besar bagi pelajar yang memasuki alam kampus. Tambahan pula, mereka akan mengalami tekanan kerana dibebani dengan pelbagai tugasan yang diberikan oleh pensyarah, pada masa yang sama mereka perlu mengulangkaji pelajaran bagi setiap subjek untuk menghadapi ujian dan kuiz. Hal ini menunjukkan bahawa persekitaran juga menjadi punca tekanan pelajar.

Keinginan yang melebihi kemampuan
Selain itu, keinginan yang melebihi kemampuan juga menyebabkan tekanan dalam kalangan pelajar. Setiap pelajar mempunyai keinginan yang sangat tinggi yang ingin dicapai. Bagi pelajar yang pintar adalah mudah bagi mereka untuk mencapai cita-cita mereka. Ada di antara pelajar yang mempunyai cita-cita yang terlalu tinggi dibandingkan dengan kemampuan mereka.Walaubagaimanapun jika direnungkan bagaimana pula dengan keadaan yang kurang berkemampuan jawapannya sudah tentu mereka tertinggal di belakang. Mereka akan mempunyai satu sifat "inferior" di dalam diri mereka. Apabila mereka tidak dapat mencapai apa yang mereka cita-citakan mereka yang berasa sangat tertekan.
Punca Intrapersonal
Salah satu faktor tekanan pelajar ialah kurangnya kecerdasan intrapersonal. Kecerdasan intrapersonal merujuk kepada kecerdasan seseorang yang mampu memahami diri sendiri, mengetahui kelemahan yang ada pada dirinya sendiri. Kebiasaannya, pelajar masa ini lebih cenderung berfikiran negatif. terdapat 3 konsep diri negatif yang diamalkan oleh pelajar iaitu:
a)    Tidak yakin dengan kemampuan diri untuk mengatasi masalah.
b)    Tidak merasa setara dengan orang lain.
c)    malu menerima pujian dan kritikan.

Punca Sosial

Persekitaran sosial merupakan salah satu penyumbang utama kepada berlakunya tekanan dalam kalangan pelajar hari ini. Pergaulan bebas antara pelajar lelaki dan perempuan menyebabkan mereka mudah terjebak dalam gejala sosial seperti pembuangan bayi, pelacuran, 'mat rempit', dan banyak lagi. Kesannya, mereka yang terlibat ini akan mengalami tekanan kerana tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Sebagai contoh, seorang pelajar perempuan yang telah mengandungkan anak teman lelakinya akan berasa tertekan kerana malu dan takut kepada masyarakat sekeliling. Tambahan pula apabila teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab terhadap perbuatannya. Hal ini menyebabkan berlakunya pembuangan bayi dan lari dari rumah, seterusnya para pelajar tersebut mengabaikan pelajaran kerana terlalu tertekan akibat masalah yang dihadapinya. Sesungguhnya, gejala sosial yang semakin berleluasa menyebabkan para pelajar mengalami tekanan dalam diri mereka.

No comments:

Post a Comment