Jenis-Jenis Gangguan Emosi

Gangguan emosi ini dapat dikategorikan dalam tiga jenis iaitu gangguan emosi ringan, gangguan emosi sederhana dan gangguan emosi berat. Gangguan ini berlaku sama ada secara ringan di mana gangguan tersebut boleh ditangani atau gangguan yang terlalu kuat misalnya terlalu sedih sehingga mencederakan diri sendiri. Murid yang mengalami gangguan emosi, mampu memberikan kesan negatif kepada pencapaian akademiknya. Hal ini mampu menjejaskan hubungan murid dengan orang lain dan keupayaannya belajar.

Gangguan Emosi Ringan
Kebiasaannya gangguan seperti ini tidak terlalu kelihatan ciri-cirinya dari luar. Gangguan emosi yang ringan selalunya boleh diatasi sendiri oleh murid tersebut. Tetapi, jika diamati secara mendalam, gangguan emosi yang dialami oleh murid ini kian terserlah kerana kadang-kala masalah yang dihadapi masih kurang sesuai dengan tahap tumbesaran mereka. Walau bagaimanapun, mereka masih mampu untuk mengatasinya dengan baik seterusnya tidak menjejaskan emosi mereka secara mendalam. Sebagai contoh, naluri seorang kanak-kanak untuk berkawan dan bermain bersama adalah tinggi, tetapi kadang kala apabila tercetusnya konflik di mana mereka perlu berkongsi alat permainan atau perkakasan belajar, emosi mereka serba sedikit terganggu dan mereka mampu mengatasinya dengan baik.

Gangguan Emosi Sederhana
Gangguan emosi jenis ini jika diamati, lebih jelas kelihatan berbanding dengan gangguan emosi ringan. Gangguan ini dapat dilihat dari segi fizikal seperti gerak badan, mimik muka dan perlakuan murid-murid tersebut seperti marah, takut, sedih dan sebagainya yang berada pada tahap biasa sahaja dan merupakan sesuatu yang normal bagi kanak-kanak lain. Penentangan yang ditunjukkan pada kali ini adalah lebih kuat berbanding dengan gangguan emosi jenis ringan sehingga menyebabkan mereka melahirkannya dengan menggunakan pelbagai cara seperti menangis. Sebagai contoh, guru mengarahkan murid untuk menyertai kumpulan yang telah ditetapkan, tetapi murid tersebut enggan menyertai kumpulan tersebut lalu menangis bagi menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan yang dilakukan oleh gurunya.

Gangguan Emosi Berat
Bagi gangguan emosi jenis berat pula, dari segi fizikalnya, memang dapat dilihat dengan begitu jelas sekali bahawa murid tersebut sedang mengalami gangguan emosi kerana tingkah laku murid kelihatan agak pelik berbanding tingkah laku sehariannya. Gngguan emosi jenis ini agak bahaya kerana mampu mengundang bahaya apabila murid tersebut akan melakukan percubaan untuk mencederakan rakan-rakannya atau dirinya sendiri. Apabila murid tersebut tidak dapat mengawal emosinya, kadang-kala tindakannya akan berlebih-lebihan seperti menjerit-jerit dan menghentak-hentakkan kaki atau anggota bandannya sehingga mendatangkan kecederaan. Sebagai contoh, apabila murid tersebut terlalu marah kepada rakannya, mereka akan cenderung untuk bergaduh dan mencederakan satu sama lain bagi memuaskan hati mereka. Jika perlakuaan seperti ini tidak dibendung dari awal, murid tersebut tidak akan mampu untuk mengawal emosinya apabila dewasa kelak seterusnya mengganggu proses pembelajarannya.


No comments:

Post a Comment