Pengenalan
Emosi merupakan salah satu unsur yang
memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia sejagat. Emosi juga
merupakan salah satu tunjang yang penting dalam perjalanan setiap insan di muka
bumi ini. Jika emosi diganggu, akan timbul beberapa masalah yang mampu
memberikan kesan-kesan yang negatif kepada diri sendiri seperti tidak
bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara dan sering kelihatan gelisah bagi
melaksanakan sesuatu tugasan. Jika berlarutan, gangguan emosi ini akan menjadi
penyakit yang lebih serius dan boleh menyebabkan gangguan mental. Perkataan
emosi sebenarnya berasal daripada bahasa Perancis, “emotion”, dan “émouvoir”
yang bermaksud ‘kegembiraan’. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, emosi
bermaksud perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain.
Bruno (1984) pula mendefinisikan emosi
sebagai suatu keadaan yang mampu mengganggu kitaran bendalir di dalam badan.
Oleh itu, beliau melihat emosi daripada prespektif ini kerana apabila seseorang
itu mengalami emosi, hampir keseluruhan keadaan homeostasisnya terganggu dengan
pelbagai perubahan fisiologi yang berlaku dalam tubuhnya. Kadang-kadang
kesihatan individu yang mengalami gangguan emosi juga semakin terjejas.
Gangguan emosi pula boleh ditakrifkan
sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh
murid-murid. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2002) mendefinisikan gangguan
emosi sebagai kesan konflik yang tidak dapat diselesaikan, yang dicirikan
dengan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu.
Sebagai seorang guru, tahap kesediaan
murid untuk belajar haruslah dipantau agar emosi murid tersebut sentiasa berada
dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk belajar. Pendidikan pada masa kini
bukan sahaja mementingkan pencapaian di dalam ujian dan peperiksaan, malah
setiap aspek perlu diberi perhatian. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang menyeru para pendidik untuk memperkembangkan potensi individu
iaitu murid-murid secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang
seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi, rohani dan sosial.
Dewan Siswa (2012) melaporkan bahawa
berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, dapatan kaji selidik
menunjukkan bahawa 14.4 peratus remaja berusia 16 tahun hingga 19 tahun
mengalami masalah kesihatan mental berbanding dengan golongan dewasa yang
mencatatkan 11.2 peratus kes. Kajian itu juga menunjukkan bahawa secara
keseluruhan, 11 peratus golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun pernah
terfikir untuk membunuh diri. Peratusan kes daripada hasil kajian tersebut yang
secara relatifnya agak tinggi, sudah pasti membimbangkan kita semua. Hal ini
perlu ditangani segera agar jumlah kes tidak terus meningkat hingga mengundang
keadaan yang lebih serius berlaku. Oleh hal yang demikian, gejala masalah
kesihatan mental dalam kalangan remaja atau pelajar perlu ditangani dari awal.
Tekanan emosi sekiranya tidak diuruskan pada peringkat awal, boleh menjadi
parah dan seterusnya menular kepada masalah mental.
Memang tidak dinafikan bahawa zaman
remaja ialah era peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa dan banyak
perubahan dari segi perkembangan fizikal, kognitif serta emosi berlaku dalam
tempoh ini. Tidak mustahil pada usia ini, remaja sering dikaitkan dengan jiwa
yang cenderung untuk memberontak. Apatah lagi, alam remaja merupakan tempoh
yang mendedahkan mereka kepada banyak tekanan emosi. Tekanan ini sebahagian
besarnya disumbangkan oleh faktor pendidikan kerana menduduki beberapa
peperiksaan penting sepanjang usia remaja. Selain itu, remaja juga
“terperangkap” dengan harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, masalah kurang
perhatian keluarga dan tahap keyakinan diri yang menurun. Kita sering melihat
tekanan sebagai masalah orang dewasa, tetapi hakikatnya perkara ini turut
berlaku pada kanak-kanak dan remaja, justeru bayi mengalami tekanan juga. Bayi
menangis, mungkin kerana lapar atau kembung perut, merupakan isyarat bahawa
mereka mengalami tekanan. Cuma punca dan tahap tekanan mereka berbeza daripada
orang dewasa dan remaja. Oleh hal yang demikian, bagi memastikan tekanan emosi
tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kehidupan, hal ini perlu ditangani
dan diuruskan dengan mengenal pasti puncanya terlebih dahulu. Apabila puncanya
diketahui, lebih mudah untuk seseorang itu menguruskan masalah tekanan
emosinya.
No comments:
Post a Comment