Pengenalan
Emosi merupakan salah satu unsur yang memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia sejagat. Emosi juga merupakan salah satu tunjang yang penting dalam perjalanan setiap insan di muka bumi ini. Jika emosi diganggu, akan timbul beberapa masalah yang mampu memberikan kesan-kesan yang negatif kepada diri sendiri seperti tidak bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara dan sering kelihatan gelisah bagi melaksanakan sesuatu tugasan. Jika berlarutan, gangguan emosi ini akan menjadi penyakit yang lebih serius dan boleh menyebabkan gangguan mental. Perkataan emosi sebenarnya berasal daripada bahasa Perancis, “emotion”, dan “émouvoir” yang bermaksud ‘kegembiraan’. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, emosi bermaksud perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain.
Bruno (1984) pula mendefinisikan emosi sebagai suatu keadaan yang mampu mengganggu kitaran bendalir di dalam badan. Oleh itu, beliau melihat emosi daripada prespektif ini kerana apabila seseorang itu mengalami emosi, hampir keseluruhan keadaan homeostasisnya terganggu dengan pelbagai perubahan fisiologi yang berlaku dalam tubuhnya. Kadang-kadang kesihatan individu yang mengalami gangguan emosi juga semakin terjejas.
Gangguan emosi pula boleh ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh murid-murid. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2002) mendefinisikan gangguan emosi sebagai kesan konflik yang tidak dapat diselesaikan, yang dicirikan dengan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu.
Sebagai seorang guru, tahap kesediaan murid untuk belajar haruslah dipantau agar emosi murid tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk belajar. Pendidikan pada masa kini bukan sahaja mementingkan pencapaian di dalam ujian dan peperiksaan, malah setiap aspek perlu diberi perhatian. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyeru para pendidik untuk memperkembangkan potensi individu iaitu murid-murid secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi, rohani dan sosial.
Dewan Siswa (2012) melaporkan bahawa berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa 14.4 peratus remaja berusia 16 tahun hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental berbanding dengan golongan dewasa yang mencatatkan 11.2 peratus kes. Kajian itu juga menunjukkan bahawa secara keseluruhan, 11 peratus golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun pernah terfikir untuk membunuh diri. Peratusan kes daripada hasil kajian tersebut yang secara relatifnya agak tinggi, sudah pasti membimbangkan kita semua. Hal ini perlu ditangani segera agar jumlah kes tidak terus meningkat hingga mengundang keadaan yang lebih serius berlaku. Oleh hal yang demikian, gejala masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja atau pelajar perlu ditangani dari awal. Tekanan emosi sekiranya tidak diuruskan pada peringkat awal, boleh menjadi parah dan seterusnya menular kepada masalah mental.
Memang tidak dinafikan bahawa zaman remaja ialah era peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa dan banyak perubahan dari segi perkembangan fizikal, kognitif serta emosi berlaku dalam tempoh ini. Tidak mustahil pada usia ini, remaja sering dikaitkan dengan jiwa yang cenderung untuk memberontak. Apatah lagi, alam remaja merupakan tempoh yang mendedahkan mereka kepada banyak tekanan emosi. Tekanan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor pendidikan kerana menduduki beberapa peperiksaan penting sepanjang usia remaja. Selain itu, remaja juga “terperangkap” dengan harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, masalah kurang perhatian keluarga dan tahap keyakinan diri yang menurun. Kita sering melihat tekanan sebagai masalah orang dewasa, tetapi hakikatnya perkara ini turut berlaku pada kanak-kanak dan remaja, justeru bayi mengalami tekanan juga. Bayi menangis, mungkin kerana lapar atau kembung perut, merupakan isyarat bahawa mereka mengalami tekanan. Cuma punca dan tahap tekanan mereka berbeza daripada orang dewasa dan remaja. Oleh hal yang demikian, bagi memastikan tekanan emosi tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kehidupan, hal ini perlu ditangani dan diuruskan dengan mengenal pasti puncanya terlebih dahulu. Apabila puncanya diketahui, lebih mudah untuk seseorang itu menguruskan masalah tekanan emosinya.